Warga Emas Maut Terjun Flat

KUCHING – Seorang wanita warga emas ditemui maut selepas dipercayai terjun dari tingkat enam sebuah flat di Jalan Ban Hock di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu, mangsa, Kho Geok Choo, 68, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepalanya.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, kejadian itu disedari oleh penghuni di situ selepas terdengar bunyi dentuman kuat dari luar flat tersebut.

Menurutnya, setakat ini polis masih menyiasat motif mangsa terjun dari bangunan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikaitkan dengan kes itu.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak di sini untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, buat masa ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber

  • K! ONLINE