“Tunggu Mee Kuning Kat Kepala Nak Buat Breakfast” – Stacy Perli Suaminya Hakim Yang Tampil Berambut Kuning Untuk MV Terbaru

PASANGAN selebriti, Akim Ahmad dan Stacy Anam mencuri perhatian netizen apabila pertanyaan yang diajukan oleh pelantun lagu Mewangi itu dilihat bertukar menjadi insiden lucu.

Penyanyi itu menerusi kemas kini di laman Instagram memuat naik sekeping gambar memaparkan keberadaan Akim bersama ahli kumpulannya, The Majistret di Pulau Jeju, Korea Selatan bagi menjalani penggambaran muzik video, Lagu Untuk Laila.

Menerusi posting tersebut, Akim menulis kapsyen mengucapkan selamat pagi sambil bertanyakan sama ada para pengikutnya sudah bersarapan atau belum.

Namun apa yang melucukan adalah reaksi dan balasan komen yang ditinggalkan oleh Stacy bagi menjawab persoalan suaminya itu.

“Tak sarapan lagi ni bang. Tunggu mee kuning you kat kepala itu nak buat breakfast. Cepat-cepatlah habiskan kerja tu balik dengan selamat okay.

“Penat layan merajuk anak you yang jeling tak habis bila tengok gambar-gambar youkat sana,” tulis Stacy.

Komen mencuit hati yang berlaku secara spontan itu mendapat perhatian netizen yang mana rata-rata berasa pasangan itu agak lucu dan sweet.

Sehingga kini, perkongsian yang menerima lebih daripada 10,000 tanda suka itu terus mendapat perhatian netizen di laman Instagram.