Menyayat Hati… Remaja Minta Hentikan Rawatan Kanser Kerana Tak Mahu Ibu Bapanya Dibelenggu Hutang

Kanser merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh pertumbuhan tidak terkawal sel-sel yang tidak normal dalam badan manusia. Ia selalunya berpunca daripada kegagalan sistem imunisasi berfungsi dengan baik. Ramai yang sedar bahawa rawatan untuk penyakit kanser sememangnya agak mahal dan boleh mencecah ribuan ringgit.

Menurut Nextshark, seorang remaja berusia 14 tahun penghidap kanser hepatoblastoma, sejenis kanser hati yang jarang ditemui merayu kepada ibu bapa supaya menghentikan rawatan kansernya  kerana tidak sanggup melihat mereka menghabiskan wang semata-mata demi menyembuhkannya.

Sumber: Nextshark

Ibu bapa remaja itu dikatakan sudah kehabisan wang simpanan kerana semuanya digunakan untuk rawatan perubatan anak mereka. Remaja dikenali sebagai Li Xiaoqing itu telah disahkan menghidap kanser hati semenjak tahun 2014 lagi.

Dek keadaan penyakitnya yang tidak bertambah baik malah semakin teruk, keluarga Li kini menanggung bebanan hutang yang banyak untuk membayar kos perbelanjaan rawatan anak mereka.

Sumber: Nextshark

“Baik kamu putus asa sahaja. Saya tidak mahu menjadi beban kepada kamu,” kata Li kepada kedua ibu bapanya kerana tidak sanggup lagi melihat mereka menderita mengumpul dan meminjam wang semata-mata untuk merawat penyakitnya.

Ibu bapa Li membawanya ke hospital di Beijing setelah dinasihatkan oleh doktor yang bertugas di daerah tempat tinggal mereka. Setibanya di Hospital Kanak-kanak Beijing, doktor menasihatkan agar Li diberikan rawatan kimoterapi dengan segera kerana saiz ketumbuhannya.

Sumber: Nextshark

Walau bagaimanapun, ibu bapa Li memilih untuk menjalani prosedur rawatan di Hospital Awam Puyang kerana kekangan kewangan. Sejak menjalani rawatan kimoterapi, Li terpaksa ponteng sekolah selama beberapa bulan. Pun begitu, keadaan Li semakin teruk membuatkan ibu bapanya memilih untuk kembali ke Beijing demi mendapatkan rawatan yang lebih baik.

Bapa Li, Xiangping bekerja sebagai seorang petani dan pengimpal. Dia terpaksa buat beberapa kerja sambilan demi menanggung perbelanjaan rawatan anaknya. Xiangping dikatakan pernah tidur di dalam hutan dan di dalam terowong selama sebulan sewaktu Li menjalani rawatan.

Sumber: Nextshark

Disebabkan selimut dan bagasinya pernah dicuri sewaktu tidur di tempat-tempat tersebut, suami isteri itu terpaksa menyewa sebuah bilik kecil di pinggir bandar. Untuk menjimatkan wang, Li hanya tinggal di hospital sepanjang menjalani rawatan.

Menyedari bahawa keadaannya tidak bertambah baik walaupun setelah ibu bapa menghabiskan wang berjumlah $44,500 (bersamaan RM180,000) untuk rawatannya, Li memberitahu bapanya bahawa dia tidak mahu lagi menjalani kimoterapi.

Sumber: Nextshark

“Ayah, saya tak mahu buat kimoterapi lagi. Keluarga kita dah kehabisan wang. Bila ayah nak bayar hutang-hutang tu? Berhentilah. Kalau saya tiada, ayah masih ada abang dan adik.”

Walaupun dihimpit kesusahan dan penderitaan, ibu bapa Li tidak mahu berputus asa dan sanggup meneruskan rawatan kimoterapi anak perempuan mereka. Setelah kisah mereka tersebar di internet, ramai yang tampil memberikan sumbangan kepada keluarga ini melalui sebuah laman derma yang kini telah berjaya mengutip lebih daripada RM42,000!

Semoga Li cepat sembuh dan menerima rawatan yang lebih baik hasil sumbangan insan-insan yang prihatin.