Pelanggan Terkejut Apabila ‘Dipaksa Rela’ Beli Kupon Untuk Menggunakan Tandas Di Stesen Minyak Di Kuala Terengganu

Selain untuk tujuan mengisi minyak kenderaan dan membeli snek atau makanan ringan sebagai bekal sepanjang perjalanan, ramai orang selalunya berhenti di stesen minyak kerana kemudahan tandasnya yang percuma. Pun begitu, lain pula dengan pengalaman lelaki ini yang mendakwa terpaksa membuat bayaran sewaktu mahu menggunakan tandas di sebuah stesen minyak.

Menurut mStar, seorang lelaki telah berkongsi di laman Facebook tentang insiden mengejutkan yang dilaluinya kerana terpaksa membeli kupon dan mengambil kunci di kaunter ketika ingin menggunakan bilik air di sebuah stesen minyak.

Sumber: mStar

“Saya terkejut apabila orang awam yang ingin menggunakan tandas di situ perlu membayar kupon dan mengambil kunci di kaunter.”

Lelaki dikenali sebagai Aziz pada ketika itu singgah di sebuah stesen minyak Shell di Kuala Terengganu kerana mahu membersihkan bayinya yang berusia dua bulan. Namun, dia terkejut dengan caj ‘paksa rela’ yang dipraktikkan di stesen minyak berkenaan lalu membatalkan niat untuk menggunakan tandas itu.

Perkongsian Aziz di laman sosial mendapat pelbagai reaksi netizen. Ada yang mempersoalkan tindakan stesen minyak itu kerana menganggap kemudahan tandas tersebut tidak wajar dikenakan bayaran. Pun begitu, ada juga yang bersetuju membayar kerana mendakwa servis yang diberikan berbaloi.

Sumber: Facebook
Sumber: Facebook

Berikutan tularnya perkongsian Aziz di media sosial, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Shell Malaysia, Datuk Abd Wahid Bidin tampil memberikan pendapatnya berhubung isu itu.

“Kalau nak caj pelanggan guna tandas, pastikan service mencapai tahap lima bintang. Bagi saya, kalau service yang diberikan itu lima bintang, caj 50 sen itu adalah berpatutan. Tapi kalau setakat tiga atau empat bintang, tak padanlah nak caj pelanggan.”

“Jika ada stesen yang mahu laksanakan kaedah pembelian bersyarat begitu, pastikan ada pekerja yang menjaga keselamatan pengguna dan kebersihan tandas sentiasa dipantau.”

Sumber: Facebook

Abd Wahid juga memaklumkan bahawa pengusaha stesen minyak tidak mendapat potongan untuk bil Indah Water dan kos utiliti yang perlu ditanggung telah meningkat sebanyak lima kali ganda sejak 2008. Ini mungkin menjadi salah satu sebab mengapa ada stesen minyak yang bertindak mengenakan bayaran untuk penggunaan tandas mereka.

Dengan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat, berkemungkinan akan ada lebih banyak stesen minyak yang tidak dapat mengekalkan service tandas percuma selepas ini.