Orang Gaji Selamba Buat Livestream Facebook Mandikan Anak Majikan Kini Dalam Siasatan Pihak Berkuasa

Perkhidmatan orang gaji kini ibarat menjadi satu keperluan terutamanya bagi ibu bapa yang bekerja dan mempunyai anak kecil. Mereka juga turut meletakkan kepercayaan kepada orang gaji untuk menguruskan anak-anak sepenuhnya hingga aktiviti pembantu rumah ini langsung tidak dipantau oleh mereka.

WORLD OF BUZZ telah melaporkan pada hari Jumaat (1 Disember) yang lalu, seorang orang gaji di Hong Kong telah membuat video live stream dirinya ketika sedang memandikan tiga orang anak majikan yang masih kecil.

Sumber: WOB

Menurut Coconuts, orang gaji tersebut yang dikenali sebagai Cinta, 28 tahun itu telah menggunakan laman sosial Facebook miliknya untuk menyebarkan video berdurasi 17 minit berkenaan. Video tersebut telah ditonton oleh 700 orang sebelum dipadam beberapa hari kemudian.

Video tersebut merakamkan Cinta yang sedang memandikan anak-anak kecil majikannya yang berumur antara enam hingga lapan tahun dalam keadaan yang gembira sambil bermain dan memeluk anak-anak kecil itu.

Sumber: WOB

Walau bagaimanapun, di dalam video live stream tersebut, seorang anak kecil itu hairan dan menanyakan kepada Cinta apa yang dia sedang lakukan serta turut memberitahu dia tidak mahu dirakam. Cinta kemudian dengan selamba menafikan bahawa dia sedang merakam kanak-kanak itu mandi.

Sebaik sahaja berita tentang video itu tular, netizen berang akan perbuatan orang gaji tersebut kerana telah mendedahkan anak kecil semuda itu dalam keadaan tidak berbaju kepada orang yang tidak dikenali di internet.

Sumber: on.cc

Difahamkan, pihak berkuasa telah menahan Cinta untuk disoal siasat berkaitan hal ini. Wakil daripada Kumpulan Sokongan Majikan HK dan Pekerja Domestik Asing telah menyarankan supaya majikan memberhentikan orang gaji itu kerana bimbang dia menggunakan komputer milik mereka untuk niat jahat atau jenayah.

Namun, menurut peguam, Albert Luk, orang gaji tersebut berkemungkinan besar akan dihukum atas kesalahan penerbitan pornografi kanak-kanak memandangkan anak-anak kecil itu dirakamkan dalam keadaan tidak berpakaian.

Sekiranya disabitkan dengan kesalahan tersebut, dia akan dikenakan hukuman penjara tiga hingga lapan tahun dan denda sebanyak antara RM520,000 hingga RM1,000,000.

Harap kes ini dapat diselesaikan dengan cepat. Mungkin majikan boleh membuat perjanjian dengan orang gaji di mana mereka dilarang sama sekali untuk mengambil gambar atau merakam video anak mereka.