Memalukan… 4 Pegawai Polis Makan Rasuah – Dipenjarakan 3 Tahun, Denda RM 45K

KUANTAN – Tindakan empat anggota polis meminta dan menerima rasuah bernilai RM8,000 pada 2014 membawa padah apabila mereka masing-ma­sing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Keempat-empat anggota polis berkenaan ialah Koperal Mazlan Mohd. Noh, 36; Konstabel Mohd. Firdaus Abdullah, 26; Koperal Mohd. Juhairy Jamaludin, 33, dan Lans Koperal Mohd. Azimie Majid, 31.

Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof menjatuhkan hukuman tersebut ke atas kesemua anggota polis terbabit selepas mereka didapati bersalah atas tuduhan itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadh­ly Mohd. Zamry manakala kesemua tertuduh diwakili peguam mereka iaitu Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

Bagi pertuduhan pertama, keempat-empat anggota polis terbabit didapati bersalah menerima rasuah sebanyak RM7,000 daripada peneroka Felda, Abdul Wahab Mahkhtar sebagai dorongan supaya mengabaikan tindakan ke atas anaknya yang tidak memiliki lesen serta permit mengangkut kayu getah.

Mereka turut disabitkan kesalahan bagi pertuduhan kedua iaitu meminta suapan berjumlah RM1,000 daripada Abdul Wahab.