(Video) Viral – Janda Muda Teruk Dikecam Netizen Mahu Kahwin Kontrak

Gara-gara memuat naik status menawarkan diri untuk kahwin kontrak di media sosial, seorang janda yang dikenali sebagai, Siti, berusia 22 tahun dikecam netizen, lapor Harian Metro.

Bagaimanapun, wanita berkenaan menegaskan bahawa apa yang dilakukannya itu adalah hak peribadinya dan dia sememangnya mahu mencari calon suami selepas bercerai tahun lalu.

“Saya tertekan kerana keluarga meminta saya kahwin cepat. Sebab itulah saya memuat naik status sedemikian untuk mencari calon idaman saya,” katanya yang juga peniaga.

“Saya mahu cari yang sedap mata memandang dan tidak gemuk. Benar dalam status di Facebook saya tidak mahu mengemas rumah dan memasak kerana tidak mahu dikongkong. Oleh kerana itu saya tawarkan duit kepada calon suami saya.

“Tetapi tindakan saya itu dikecam, namun saya tidak kisah,” katanya.

Malangnya dia terpaksa memadamkan status itu selepas dua jam kemudian kerana tidak tahan dikecam teruk oleh netizen.

Ekoran itu juga, wanita berkenaan terpaksa membuat FB Live bagi memberikan penjelasan mengenai tindakannya itu.

“Bukan saja ramai yang mesej saya untuk menjadikan saya sebagai isteri, malah ramai yang kecam walaupun status itu sudah dipadamkan.

“Suka hati saya nak buat apa, ini bukan jenayah. Saya yang nak kahwin, mestilah nak mencari suami yang elok,” katanya yang turut meminta netizen berhenti dari terus menyebarkan status Facebooknya itu.

Kaunselor keluarga, Hushim Salleh berkata, perkahwinan kontrak adalah jelas ditegah dalam Islam.

“Nikah Muta’ah atau pernikahan yang mempunyai perjanjian tertentu adalah ajaran Syiah dan harus dielakkan.

“Mungkin wanita itu mahu jaminan terhadap dirinya supaya tidak ditinggalkan kelak. Bagaimanapun, individu itu seperti memperdagangkan hubungan suami isteri.

Sementara itu, dalam video yang dimuat naik semalam, Siti memberi kenyataan berikut:

“Saya nak kahwin kontrak dan saya sanggup bayar kepada lelaki itu sebab saya nak ceraikan. Takkan seumur hidup saya nak rasa dia punya seorang kan? Sebab itu saya kata kontrak cuma satu tahun. Yelah, tiba-tiba kahwin, tengok-tengok besar ‘ni’ je. Menyesal kau.

“Saya pun rasa macam, saya tak nak kahwin lebih dari setahun sebab saya tak nak rasa yang itu saja. Kalau siapa yang kahwin lebih dari setahun, dia rugi okay. Sebab dia cuma rasa yang tu je. Dia tak rasa yang lain, haa!

“Kita ni kalau pilih kuih, jangan pilih sejenis. Kena pilih banyak-banyak jenis tau. Kita bayar wang hantaran dekat lelaki itu pun, tak rugi gais. Bayar kita RM10,000-RM20,000 tapi nak suruh kita kemas rumah, basuh baju, masak, ingat orang gaji?

“Orang gaji bolehlah kau nak suruh masak apa semua tu. Yang ni kita orang perempuan ada status sikit, gais. Nak suruh kita buat macam orang gaji. Duit kita ada beb.

“Bagi makcik/pakcik bawang yang dok kecam-kecam saya. Janganlah kecam sangat. Nanti takut laki hangpa tu yang dok ada pula yang volunteer nak jadi nombor dua. Tak payahlah dok kecam.

“Makcik bawang pi jaga aset makcik bawang tu. Jangan bagi mulut tu bau busuk dok kecam-kecam. Laki balik, pi la sambut. Jangan nak mengangkang dengan Facebook je, dah tau tak ada kerja kan. Macam kitorang ni, kitorang ada kerja. Korang dapat duit hantaran, kitorang bayar duit hantaran.

“Yang kedua, saya tak nak buat kerja rumah. Mama I pun tak suruh I buat kerja rumah. You nak suruh I buat kerja rumah? You nampak tak pintu keluar kat rumah saya tu? You boleh keluar terus.

“Kahwin kontrak ini tak salah pun gais. Tak salah pun. Kahwin kontrak ni, atas pihak perempuan la kan. Kalau dia boring, boleh keluar kan. Kalau dia rasa macam dia boleh bayar lelaki itu, yes. Just bagi duit je kan. Sebab kadang-kadang lelaki ini kan, RM10,000-RM20,000 pun dia tak mampu kan.

“So saya nak cakaplah kan, janda sekarang ni tak bodoh okay. Janda sekarang ni dah pandai.

“Kepada makcik/pakcik bawang, sila meninggal,” katanya dalam video tersebut.

Di media sosial, netizen pula menganggap tindakannya wanita terbabit seperti merendah-rendahkan ikatan perkahwinan.

“Orang nak kahwin sehidup semati dan jalankan kehidupan sebagai seorang isteri. Setakat nak kahwin kontrak sebab tak nak masak, tak nak mengemas rumah apa semua itu, baik tak payah kahwin. Geram pula aku,” – Siti Nur Azirah.

“Bukan jenayah bagi kau tetapi ini cara syiah berkahwin. Dah rosak akidah dan boleh jatuh murtad kalau buat begini. Kahwin kontrak ini hanya dibuat oleh orang jahiliyah dan syiah. Islam melarang keras perbuatan ini,” – Mohd Farhan Yusni.

“Perkahwinan adalah indah dan benda baik. Kalau main kontrak-kontrak, rosaklah nama perkahwinan. Ingatlah sikit, walaupun awak mampu bayar dan kaya, selepas kahwin awak kena taat juga. Kalau tak, ke neraka jahanam juga akhirnya nanti. Kalau tak bersedia nak berkahwin, menjandalah sampai mati. Janganlah gunakan duit awak itu untuk beli perkahwinan,” – Noor Wahida.