11 Azam Tahun Baru Yang Susah dan Jarang Tercapai

Pada setiap tahun, kebiasaannya kita akan pahat di dalam hati azam tahun baru yang ingin kita capai pada tahun yang baru. Walau bagaimanapun, bukan semua yang berjaya mencapai kesemua azam tahun baru mereka. Malah, ada juga yang mempunyai azam yang sama setiap tahun kerana masih tak tercapai. Haha!

Antaranya seperti ini:

1. Kuruskan badan serta mengamalkan gaya hidup sihat

Setiap tahun kita adakan target berat badan yang ingin dicapai dan konon semangat nak pergi bersenam dan nak makan makanan yang sihat. Tapi bila sampai masa, kita selalu akan tipu diri sendiri dan kata, “Besoklah start!” Tapi tau-tau je, dah akhir tahun, berat pula semakin bertambah bukan menurun!

Exercise Running GIF

2. Nak pergi travel

Sekarang sudah ibarat trend pula pergi melancong ni. Tambah-tambah lagi pergi melancong dengan rakan-rakan. Jadi kita pun berkobar-kobar merancang nak pergi trip dengan orang tersayang. Tetapi, bila sampai masa, duit tak cukuplah, tak dapat cutilah, mak tak bagilah, kucing beranak lah. Macam-macam! Maka, melayanglah impian korang tu.

3. Nak kurangkan shopping

Pembelian atas talian kini sudah meluas dan orang ramai lebih senang menggunakan cara ini kerana lebih mudah. Oleh itu, kita selalu membuat azam untuk kurang membeli belah kerana kadang kala boleh terlebih beli. Tapi biasalah, selalu pula tergoda dengan jualan murah di kedai mahupun tawaran hebat barangan online.

Leighton Meester Shopping GIF

4. Berjimat cermat

Bukan setakat ingin kurangkan shopping, kita juga turut memilih untuk berjimat cermat dan mula menyimpan wang untuk kegunaan masa akan datang. Tetapi, untuk setiap duit yang disimpan, mesti dua kali ganda jumlah yang akan digunakan. Siapa macam ni?

Black And White Fly GIF by RocketJump

5. Belajar lebih bersungguh-sungguh dari tahun lepas

Yang ni memang sering terjadi dalam kalangan para pelajar terutamanya yang mendapat keputusan kurang memberangsangkan. Mereka pastinya akan lebih bersemangat untuk belajar bagi mendapat keputusan yang jauh lebih baik dari tahun lepas. Namun, bila sampai masa, liat betul nak merealisasikan azam itu.

6. Berhenti merokok

Bagi perokok di luar sana, pasti ada tersemat hajat di hati untuk berhenti merokok. Namun, susah betul nak capai. Mana taknya, rakan sekeliling pun syok merokok, macam mana nak berhenti kan? Bila tengah melepak, kawan offer rokok, laju je tangan mencapai ye dok?

Cigarette GIF

7. Belajar memasak 

Azam ini biasanya dimiliki oleh kaum hawa. Setiap tahun rancang nak belajar memasak, persediaan ke alam perkahwinan katanya. Namun, berat betul kaki nak melangkah dapur, bukan apa, bila dah penat bekerja sampai malam, bila pulak nak memasak ye tak? Adaaa saja alasan…

8. Tamatkan zaman bujang

Pada penghujung tahun, kita kebiasaannya akan menerima banyak jemputan kahwin rakan kenalan. Melihat kepada hal ini, kita pun mula pasang azam nak tamatkan zaman bujang pada tahun hadapan. Tetapi azam itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. Jadi kita pun mula recycle azam tersebut ke tahun berikutnya.

Live Action GIF

9. Meluangkan lebih masa dengan keluarga

Keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Oleh itu, setiap tahun kita akan merancang untuk meluangkan lebih masa dengan keluarga yang tercinta. Namun, setiap tahun juga kita tiada masa kerana terikat dengan komitmen kerjaya dan tidak kurang juga yang memilih untuk meluangkan masa bersama rakan apabila diajak keluar.

10. Mencari hobi baru

Kadang kala sedang kita berehat, mesti kita terfikir untuk mencari hobi baru bagi meluangkan masa yang ada. Kita pun mula melayari internet bagi mendapatkan idea bagi memilih hobi yang sesuai dengan kita. Walau bagaimanapun, bila dah jumpa hobi baru, mulalah datang kemalasan dan lebih memilih untuk berehat. Hangat hangat tahi ayam je ni…

11. Mempertingkatkan amalan

Rata-rata penganut agama Islam pastinya mempunyai azam ini iaitu ingin meningkatkan amalan mereka. Antaranya nak khatam al-Quran dan yang nak ganti puasa awal-awal supaya tak terkejar-kejar nanti, tetapi seperti biasa, semuanya kita tangguhkan dan bawa azam tersebut ke tahun berikut.

Mungkin ramai yang dapat capai azam mereka dan mungkin juga yang masih merangkak nak merealisasikan azam tahun baru. Apa-apapun, setiap azam mestilah seiring dengan usaha dan seterusnya istiqamah.