10 Motosikal Yang Berharga Bawah RM 12,000 Yang Jimat Minyak di Malaysia

Kepada anda yang mempunyai perancangan untuk membeli motosikal baru, tahukah anda sebenarnya dapat mengurangkan perbelanjaan anda sekiranya anda bijak memilih motosikal yang mempunyai penjimatan minyak yang tinggi.

Laman web CompareHero telah melakukan perbandingan menyeluruh di antara motosikal ekonomi yang terbaik di Malaysia.

Faktor lain seperti

  • enjin
  • saiz tangki dan
  • kemampuan

…juga boleh diambil kira selain dari faktor penjimatan minyak.

Berikut disenaraikan 10 jenis motosikal untuk rujukan dan perbandingan anda:-

10. Yamaha FZ150i

Kadar Penjimatan: RM 5.72/100 km (2.6 liter/100km)

Mempertaruhkan enjin 150cc SOHC berserta tangki bahan api 12 liter dan penyejuk cecair, Yamaha FZ150i merupakan pilihan yang bagus bagi individu yang sanggup membayar lebih untuk mendapatkan kuasa tambahan.

Yamaha FZ150i ini yang berharga RM 9,156.28 merupakan pilihan yang agak mahal yang berada di antara senarai ini.

Namun, motosikal ini masih dianggap salah sebuah model yang paling jimat minyak di Malaysia dengan nisbah kecekapan bahan api sebanyak 2.6 liter/100 km.

9. Honda MSX125

Kadar Penjimatan:  RM 4.84/100 km (2.2 liter/100 km)

Honda MSX125 merupakan sebuah model motosikal yang sangat mudah untuk dikendalikan, berfungsi dengan enjin 125cc, serta mempunyai kuada yang mencukupi untuk memenuhi keperluan anda.

Mempunyai kapasiti bahan api sebanyak 5.7 liter dan kecekapan bahan apinya ialah sebanyak 2.2 liter/100km menjadikan anda dapat memandu sejauh lebih dari 250 batu.

Harga semasa ialah RM 11,128 dan agak mahal, namun reka bentuk yang sporty dan kuasa yang ditawarkan menjadikan ia agak berbaloi untuk dimiliki.

8. Yamaha 135LC

Kadar Penjimatan: RM 4.84/100 km (2.2 liter/100 km)

Berbanding dua motosikal di atas, harga Yamaha 135LC adalah lebih murah dengan harga jualan sebanyak RM 7,068.08.

Motosikal ini mempunyai tangki bahan api 4 liter berserta penyejuk cecair dan enjin 134cc SOHC menjadikan ianya sangat tahan lama untuk kelas harganya.

Mempunyai nisbah kecekapan bahan api semasa sebanyak 2.2 liter/100 km membuatkan ianya boleh pergi sejauh 181km.

7. Modenas GT 128

Kadar Penjimatan:  RM 4.84/100 km (2.2 liter/100 km)

Modenas GT128 yang berharga RM 5,600.00 merupakan satu-satunya motosikal dari jenama Modenas yang tersenarai.

Mempunyai enjin 130cc dan tangki bahan api sebanyak 4.3 liter, kecekapan bahan apinya ialah sebanyak 2.1 liter/100 km sekaligus menjadikan ianya lebih jimat dari kedua-dua Yamaha 135LC dan Honda MSX125.

6. Suzuki Smash V115

Kadar Penjimatan: RM 4.40/100 km (2.0 liter/100 km)

Berharga RM 4,847.00, Suzuki Smash v115 merupakan gabungan praktikal kuasa tinggi dan kecekapan bahan api.

Ia mempunyai enjin 115cc dan tangki bahan api sebanyak 4.3 liter.

Kecekapan bahan api untuk motosikal ini ialah sebanyak 2.0 liter/100 km dan membolehkan anda pergi sejauh 215 km.

5. Honda Wave Alpha

Kadar Penjimatan: RM 4.18/100 km (1.9 liter/100 km)

Honda Wave Alpha dikategorikan sebagai salah satu kenderaan cekap tenaga (EEV) daripada empat motosikal dalam senarai ini.

Ia mempunyai enjin 125cc dan mempunyai tangki bahan api sebanyak 3.7 liter. Berharga cuma RM 4,291.94 menjadikan ia model motosikal mampu milik.

Jarak perjalanannya adalah sejauh 194 km dan penarafan bahan api semasa model ini ialah sebaanyak 1.9 liter/100 km.

4. Honda Wave Dash Fi

Kadar Penjimatan: RM 3.96/100 km (1.8 liter/100 km)

Honda Wave Dash Fi yang berharga 5,669.94 ini mempunyai enjin 109cc silinder tunggal udara sejuk 4 strok dengan tangki bahan api sebanyak 4 liter.

Model ini menawarkan penjimatan minyak yang lebih efektif iaitu 1.8 liter/100 km.

3. Honda Future Fi

Kadar Penjimatan: RM 3.96/100 km (1.8 liter/100km)

Merupakan salah satu motosikal EEV yang berada di bawah jenama Honda.

Honda Future Fi yang berharga RM 6,072.74 ini mempunyai enjin 125cc suntikan bahan api SOHC dengan tangki 5.4 liter.

Model ini dapat bertahan sejauh 300km dengan tangki bahan api yang besar digabungkan dengan nisbah kecekapan bahan api yang agak kompetetif iaitu 1.8 liter/100 km.

2. Honda EX5-Fi

Kadar Penjimatan: RM 3.96/100 km (1.8 liter/100km)

Dengan harga mampu milik, iaitu RM 4,715.94, Honda EX5-Fi merupakan satu pilihan yang terbaik.

Model ini merupakan salah satu daripada empat model motosikal di Malaysia yang mempunyai status EEV yang didambakan.

Ia mempunyai tangki bahan api 4.3 liter dan enjin 110cc dengan suntikan bahan api SOHC. untuk motosikal antara 100cc sehingga 150cc, ia perlu mencapai 2.2 liter/100km atau kurang untuk status EEV.

Model ini merupakan salah satu model yang paling jimat minyak di Malaysia dan anda boleh memandu sejauh 230 km dengan 1.8 liter/100 km.

1. Treelektrik T-70

Kadar Penjimatan: Tak guna minyak (Guna elektrik)

Berada di tempat pertama di kalangan motosikal paling jimat minyak ialah Treelektrik T-70.

Motor yang menggunakan elektrik sepenuhnya ini berharga RM 4,982.00 dan mempunyai kelajuan maksimum 60 km/jam.

Tempoh cas penuh ialah selama 2 jam apabila menggunakan cas yang pantas.

Ternyata model ini dapat menjimatkan ribuan ringgit berbanding motosikal konvensional yang berasaskan bahan api.